Pages

Wednesday, February 1, 2012

Sembahyang Mencegah Maksiat

Wednesday, February 1, 2012


Berkata Ibnu Atho’ullah bahawa sembahyang orang yang bersembahyang itu tidak dapat mencegahnya daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar, tidak dinamakan sembahyang yang sempurna, kerana firman Allah Taala di dalam surah Al-Ankabut [45] …..sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.


Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa sembahyang itu adalah merupakan munajat kita, permohonan kita atau bisikan kita kepada Allah SWT.


Kata Ibnu Atho’ullah lagi hendaklah kita ketahui adakah kita termasuk golongan orang yang benar-benar sembahyang atau tidak, kerana sembahyang itu mencegah kita melakukan perkara-perkara yang mungkar dan maksiat. Kadang-kadang kita sembahyang, tetapi masih lagi melakukan perkara-perkara yang mungkar dan maksiat. Ini bermakna sembahyang kita masih tidak sempurna berdasarkan firman Allah tadi. Jika sembahyang yang kita lakukan itu tidak dapat mencegah kita dari melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar, maka sembahyang kita itu bukanlah sebenar-benar sembahyang malahan ia hanyalah sembahyang pada sebutan zahir semata-mata tetapi tiada di segi amalan bathinnya.


Banyak orang yang sembahyang dalam keadaan sifat yang takabbur dan sombong sedangkan ketika meletakkan dahi kita di atas lantai, jelas menunjukkan betapa rendahnya martabat kita disisi Allah Taala, tetapi  kadang-kadang masih ada lagi terdapat di dalam hati manusia sifat besar dan sombong. Ini bermakna sembahyangnya tidak ada memberi kesan dalam membentuk peribadinya kerana sembanyangnya masih tidak sempurna. 


Ada orang yang sembahyang sekadar sembahyang menunaikan kewajipan sahaja dan tidak banyak yang betul-betul sembahyang yang menghadapkan seluruh jiwa raga mereka kepada Alllah. Hal ini telah dinyatakan di dalam firman Allah di dalam surah Al-Maaun [4,5]…..


4.  Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat,
5.  (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya,


Sembahyang itu adalah bermunajat kita ke pada Allah swt, ertinya kita berhadapan dengan hadrat Allah swt, maka semasa kita menghadap kepadaNya hendaklah kita mempunyai adab adab yang tertentu. Yakni hendaklah kita menghadap kepadaNya dengan sepenuh hati  umpama kita sedang berjumpa dengan orang besar atau orang kenamaan dan sedang bercakap-cakap denganya. Kita memakai pakaian yang bersih dan mengharap dengan yakin agar permohonan kita diperkenankan oleh mereka. Pada ketika itu kita tidak memalingkan muka kita daripadanya dan jika sekiranya kita memandang kepada yang lainnya maka kita dikira sebagai tidak menghormatinya. 


Bagitulah juga ibaratnya ketika kita menghadap kehadrat Allah swt,  ikrar kita kepadaNya di dalam sembahyang dari mula takbiratul ihram ….”Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam” hinggalah ke salam yang akhir. 


Adakah pernah kita meneliti sembahyang  5 waktu yang kita lakukan itu adakah menepati sepertimana yang disuruh oleh Allah swt atau tidak?. Adakah sembahyang kita sama  sepertimana pengakuan kita kepada Allah swt ketika kita melafazkan doa iftitah, ketika kita membaca al fatihah, ketika kita melafazkan kalimah puji-pujian di dalam ruku’ dan sujud dan di dalam bacaan, tahiyyat?. Adakah kita lupa segala-galanya selepas kita menyebut salam selepas selesainya kita sembahyang.


Kata nabi orang yang bersembahyang jumaah adalah lebih baik dari sembahyang seorang dengan 25 atau 27 kali ganda. Justeru itu mahukah kita mengambil manfaat sembahyang berjemaah yang mana mempunyai banyak lagi kelebihan-kelebihan yang tidak kita ketahui.


Sembahyang adalah satu ibadah yang paling tinggi berbanding dengan ibadat-ibadat yang lain dan sebab itulah Nabi kita saw menghadap ke hadrat Allah swt untuk mengambil terus dari Allah swt perintah sembahyang hingga ke Sidratul Muntaha, manakala ibadat-ibadat yang lain disampaikan oleh Jibril as sahaja.  Inilah penghormatan Allah swt kepada Nabi saw yang tidak diberikan kepada nabi-nabi atau rasul-rasul yang lain, hatta Nabi Musa sekalipun. Maka hendaklah kita peliharakan sembahyang kita kerana nilainya tinggi disisi tuhan.


Maka hendaklah saban hari kita menilai sembahyang yang kita laksanakan ini diterima atau tidak oleh Allah swt, betul atau tidak dan pohonlah dariNya diberikan nur supaya sembahyang yang kita kerjakan lebih sempurna dari segi hakikat sembahyang yang sebenarnya.


Oleh itu marilah kita renung sejenak dan marilah kita sama-sama memikirkan cara untuk membetulkannya sedikit demi sedikit supaya kita sentiasa berada di dalam istiqamah pendekatan kita dengan Allah swt.





0 comments:

 
◄ Free Blogger Templates by The Blog Templates | Design by Pocket