Pages

Thursday, November 14, 2013

Ucapan Salam

Thursday, November 14, 2013
Memberi  Salam

Apabila seorang muslim berjumpa dengan seorang muslim yang lain, kita sering mendengar salah seorang daripada mereka mengucapkan salam sambil berjabat tangan. Perbuatan ini amat disukai Nabi saw, kerana ia memupuk rasa berkasih-kasihan dan baik hati diantara orang yang bersalaman dan mendapat pahala. Adakah kita ketahui bahawa orang yang berjumpa dengan seseorang lalu ia mendahului memberi salam, ia akan mendapat pahala yang lebih daripada yang diberikan salam itu?. Ada sesetengah kita menganggap memberi salam itu sekadar ucapan biasa sahaja. Kadang-kadang kita dengar lelaki memberi salam sebagai usikan kepada gadis-gadis dengan mengatakan; “Tak jawab, berdosa”. Memanglah menjawab salam adalah wajib dan jika tidak dijawab berdosa, tetapi niat mereka tidak ikhlas.                                                                              

Lafaz salamnya ialah " السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه ".  Maksudnya; Semoga diberikan keselamatan atasmu, dan rahmat Allah serta berkah-Nya juga kepadamu”.

Orang yang yang mendahului memberi salam kepada sesiapa yang dikenalinya atau siapa yang tiada dikenalinya atau pada rakannya atau orang yang dijumpainya yang berugama Islam adalah dikategorikan oleh Nabi saw sebagai sebaik-baik orang. Maka orang-orang ini adalah yang terpuji pada syara’, kerana ia orang yang bersih hatinya daripada takabbur.      
                                                                                                    Hukum Memberi Salam

Menurut kata Imam Nawawi Rahimahullahu Taala di dalam syarah Muslim, memulai memberi salam itu sunat dan menjawabnya itu wajib. Maka jika ada orang Islam itu di dalam satu jemaah, maka sunat kifayah pada mereka itu pada memberi salam dan berhasil sunat salam itu apabila salah seorang pada mereka menyempurnakannya.

Jika ada orang yang memberi salam ke atas sekumpulan orang, maka menjawab salam itu fardhu kifayah pada mereka itu. Dan apabila menjawab seorang daripada mereka itu, gugurlah dosanya daripada sekelian yang lain.

Memberi Salam Kepada Isi Rumah

Memberi salam ketika hendak masuk ke rumah sendiri adalah satu amal yang patut diamalkan oleh seseorang yang berkehendakkan keuntungan dunia dan akhirat. Apabila kita pulang dari perjalanan dan hendak masuk ke rumah, hendaklah kita beri salam kepada orang-orang yang ada di dalam rumah kita dengan lafaz yang lazim digunakan. Walaubagaimana pun jika sekiranya mereka tiada di dalam rumah, hendaklah kita beri salam juga dengan lafaz sepertimana diajar oleh Nabi saw;                                             “ السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ  اللَّهِ الصَّالِحِينَ "; Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kami dan hamba-hamba yang soleh”, kerana di dalam rumah itu ada beberapa malaikat yang harus diberi salam ke atas mereka. Demikianlah yang disuruh oleh syara' sebagaimana tersebut di dalam hadis Nabi saw dengan katanya; "Wahai anakku apabila masuk kamu atas ahli kamu di rumah kamu, maka hendaklah beri salam keatas mereka itu, maka jikalau kamu perbuat demikian itu nescaya jadilah ia berkat ke atas kamu dan ahli rumah kamu”, diriwayatkan oleh  Abu Isa at Tarmizi.
Sunat Memberi Salam Dahulu Daripada Berkata-kata


Memberi salam dahulu sebelum daripada bercakap-cakap itulah adalah dituntut oleh syara' juga dan dicela oleh syara’ apabila kita berjumpa dengan seseorang memberikan ucapan selain daripada salam terlebih dahulu. Maka jikalau diperbuat yang demikian itu, nescaya ia menyalahi sunnah Nabi saw. Dalilnya adalah seperti sebuah hadis yang telah dikeluarkan oleh Abu Isa at Tarmizi katanya; telah bersabda Nabi saw; “Bermula salam itu dahulu daripada kalam”

0 comments:

 
◄ Free Blogger Templates by The Blog Templates | Design by Pocket