Pages

Thursday, October 27, 2011

Sunat dan Fardhu

Thursday, October 27, 2011

Di dalam dunia perniagaan setiap modal yang kita laburkan tentulah kita mahukan keuntungan atau laba, kerana kita tidak mahu perniagaan itu binasa dan hilang modal. Dalam melakukan ibadat hendaklah dipeliharakan juga akan modal kita supaya ianya tidak hilang begitu sahaja. Modal dan keuntungan itu akan kita bawa ke alam yang kekal abadi, iaitu alam akhirat dimana segala amal perbuatan kita akan ditimbang dengan seadil-adilnya oleh neraca Ilahi. Pendek kata dunia yang fana’ ini adalah tempat bertanam bagi dunia akhirat. Jika banyak yang kita tanam mendapat hasilnya, banyaklah pula yang kita bawa kembali ke akhirat.

Solat fardhu adalah yang paling pertama-tama sekali ditimbang dan diadili di dunia akhirat dan selepas itu barulah solat sunat, amalan-amalan fardhu dan sunat yang lain seperti zakat, sedekah dan lain-lainnya. 

Kadang-kadang tidak dinafikan bahawa adakalanya solat fardhu yang kita laksanakan setiap hari adalah kurang sempurna samada zahirnya atau pun bathinnya. Jika sekiranya kita sentiasa melaksanakan amalan-amalan solat sunat, maka ianya sedikit sebanyak akan menampung kecacatan atau ketidaksempurnaan amalan fardhu kita. Oleh yang demikian keuntungan atau laba yang kita perolehi dari amalan fardhu tidak akan berkurangan.

Mungkin kita tidak sedar atau pun tidak ambil peduli bahawa banyak amalan-amalan sunat yang mudah dan tidak membebankan untuk kita laksanakannya setiap hari bagi menampung amalan-amalan fardhu yang kurang. Diantaranya adalah solat-solat sunat rawatib yang mengiringi solat-solat fardhu, solat tahiyattul masjid serta beriktikaf di dalamnya, membaca bismillah pada ketika hendak makan-minum atau melakukan setiap pekerjaan yang harus dan lain-lain lagi.

0 comments:

 
◄ Free Blogger Templates by The Blog Templates | Design by Pocket