Pages

Monday, April 23, 2012

Karat Hati 2

Monday, April 23, 2012
Hati akan sentiasa berkarat dan menjadi hitam pekat selagi pemiliknya masih cinta kepada "hubbudunya" yaitu cinta kepada dunia. Oleh itu cahaya Ilahi tidak dapat menembusi hati-hati mereka kerana hilang malunya kepada Allah Azza wajalla. Ditutupi Allah Azza wajalla akan mata hati mereka daripada melihatNya kerana mereka sibuk menumpukan hal-hal yang berkaitan dengan dunia. 


Ketahuilah bahawa Allah Azza wajala sentiasa melihatmu siang dan malam, walaupun kamu tidak memandang kepadaNya.

Adalah tidak mustahil untuk menghilangkan karat hati ini, tetapi dengan syarat hendaklah dikuti jalan-jalan yang telah dilalui oleh para-para solehin, Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu. 

Terdapat beberapa cara atau kaedah untuk menghilangkan kekaratan di hati. Diantaranya ialah membaca Al Quran, mengingati akan mati,  sentiasa memohon keampunan dan taubat, memelihara solat, makan minum dan menghadiri majlis ilmu dan majlis zikir.

Bertafakkur sejenak adalah dituntut oleh Nabi juga. Bertafakkur dengan memandang yang banyak kepada yang satu dan memandang yang satu kepada yang banyak(syuhudul kasrah fil wahdah dan syuhudul wahdah fil kasrah).

Maka hendaklah di syuhudkan di dalam hati kita bahawa segala kenyataan/kejadian yang banyak itu, datangnya dari yang Satu jua, yakni tiada yang menjadikan alam syahadah ini melainkan Allah Azza wajalla jua.

Begitulah juga sebaliknya, hendaklahlah diiktikadkan di dalam hati kita bahawa yang Satu itu menjadikan sekelian kejadian yang banyak dan hendaklah dikekalkan syuhud hati kita itu dalam apa keadaan jua hingga ke akhir nafas kita. 

Maka bertaubatlah dan berzikirlah kamu dengan hatimu dan lisanmu, nescaya berubahlah kekaratan hatimu. Peliharakanlah juga makanan dan minuman kamu dari perkara yang haram dan syubhah, kerana ia juga menjadikan hatimu bertambah gelap dan berkarat. 


Gantikan amalmu yang menjurus kepada kemaksiatan kepada berbagai-bagai macam ibadah dan taat didalam melakukannya, kemudian engkau akan saksikan semuanya itu menjadi realiti dengan izin Allah Azza wajalla.

Jika semuanya ini dapat engkau realisasikan, maka tersingkirlah dirimu dari akhlak yang mazmumah dan justeru itu terpeliharalah batinmu dari segala yang menghalang dirimu hampir kepada Allah Azza wajalla dan nyatalah sifat Kamal, sifat Jamal dan sifat Jalal Allah Azza waajalla di dalam diri batinmu. 

Wallahu a'lam.

0 comments:

 
◄ Free Blogger Templates by The Blog Templates | Design by Pocket