Pages

Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Monday, November 26, 2012

Makruh Ketika Mengambil Wudu'

Monday, November 26, 2012 0
Di dalam mengambil wudu' kita sering terlupa ambil perhatian di atas perkara-perkara yang makruh. Perkara yang makruh akan mengurangkan pahala sunat kita, jadi justeru itu kita harus mengetahui perkara-perkara yang makruh itu dan berusaha untuk tidak mengamalnya. Diantara amalan yang makruh adalah:

1. Merenjis air selepas mengambil wudu'. Mengikut kata ulama' perbuatan ini disukai oleh syaitan 


2.  Berkata-kata ketika mengambil wudu'. Perbuatan ini  juga dihukumkan oleh ulama' sebagai tidak beradab

3. Berlebihan membasuh anggota wudu', iaitu melebihi 3 kali

4.  Membanyakkan menumpahkan air wudu' lebih daripada kadar yang dihajati oleh kerana mempunyai perasaan waswas

5. Menggunakan air yang musyammas, iaitu air yg terdedah kepada matahari

6 . Tidak tertib dalam mengambil wudu' kerana tertib adalah rukun yang ke enam mengikut mazhab shafie

Monday, November 12, 2012

Adab Berwudu'

Monday, November 12, 2012 0
Mengambil wudu' dengan sempurna dan tertib adalah amalan yang amat dituntut sebelum melakukan solat. Jika wudu' kita tidak sempurna, maka solat kita juga akan menjadi tidak sempurna. Setiap anggota wudu' yang kita basuh dengan air mempunyai doa-doa yang tertentu. Keberkatan akan diperolehi kalau kita mengamalkannya setiap kali ketika membasuh anggota wudu' kita. 


Sebelum kita hendak memulakan mengambil wudu', kita disunatkan bersiwak atau menggosok gigi terlebih dahulu. Ini adalah amalan sunah yang Nabi saw lakukan sepertimana yang di nyatakan di dalam satu hadisnya yang maksudnya: "Bersiwak itu menyucikan bagi mulut lagi meredhakan Tuhan dan menerangkan baginya mata" dan sabdanya lagi : "Satu sembahyang dengan bersiwak itu lebih afdhal daripada 70 sembahyang dengan tiada bersiwak".

Selesai daripada kita bersiwak, hendaklah kita mulakan menjirus anggota wudu' kita dan ketika menjirus anggota wudu' hendaklah kita hadhirkan alam hati kita memohon kepada Tuhan agar dijauhi daripada azab api neraka. Hendaklah kita qasadkan sedemikian di dalam hati kita; "Ya Allah, jauhkanlah muka aku daripada dibakar api neraka Engkau" apabila kita membasuh muka dan seterusnya apabila kita membasuh anggota lain.

Selepas selesai sahaja kita mengambil wudu', sunat pula kita membaca doa syahadah. Doa ini amat besar fadhilatnya adalah sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ghazali; "Barangsiapa membaca segala doa dalam mengambil air sembahyang, nescaya keluar sekelian dosanya daripada anggotanya dan dipeterikan atas suratan yang tersurat dalamnya pahala mengambil air sembahyang itu dengan dengan cap dan diangkat baginya dibawah arasy maka sentiasalah ia mengucap tasbih dan taqdis akan Allah Taala sehingga hari kiamat.


Bersabda pula Nabi saw bahawasanya; "Barangsiapa menyebut zikrullah yakni doa ketika berwudu' itu nescaya menyucikan Allah Taala akan segala badannya dan barangsiapa tiada menyebut zikrullah nescaya tiada suci daripadanya melainkan anggota yang kena air wudu' itu jua".



Monday, June 25, 2012

Solat Pertama Nabi

Monday, June 25, 2012 0
Ketika Nabi saw mikraj menemui Tuhan Rabbu Jalil untuk menerima perintah solat, Nabi saw tidak mengerjakan solat Subuh walaupun Baginada pulang ke Mekah sebelum waktu Subuh. Ketika Nabi berada di Baitul Makmur, Baginda telah melihat barisan ribuan para malaikat sedang beribadat kepada Allah swt. Ada sekumpulan yang sujud sepanjang masa, ada yang rukuk, ada yang berdiri qiam dan lain-lain. Kelakuan ibadat para malaikat di Baitul Makmur keseluruhannya ada persamaan dengan kelakuan solat yang diterima oleh Nabi saw, yaitu kelakuan solat yang kita dirikan pada hari ini.

Nabi tidak melakukan solat Subuh sekembalinya Baginda ke kota suci Mekah, ada beberapa sebab. Sebab yang paling utama Subuh ialah kerana Baginda hanya menerima perintah mengerjakan solat sahaja. Baginda tidak ada menerima panduan atau kaedah bagaimana hendak melakukan solat.

Sebab yang kedua ialah, untuk melakukan solat secara praktikal, mestilah dipelajari daripada seorang guru dan justeru itu Allah swt menghantar Jibril turun ke bumi selepas waktu  Subuh untuk mengajar Nabi saw bagaimana cara-cara mengerjakan solat. 

Setelah mempelajari kaedah mengerjakan solat dari Jibril as maka Nabi mula mengerjakan solat Zohor. Jadilah solat Zohor itu permulaan solat bagi setiap hari dan seterusnya diikuti solat Asar, Maghrib Isya’ dan Subuh sebagai  solat yang akhir.

Oleh kerana solat Subuh menjadi solat yang akhir atau penutup kepada solat harian, ianya dilengkapi dengan doa qunut untuk kita memohon barokah, petunjuk dan hidayat serta keampunan dan kesejahteraan keatas Baginda Nabi saw dan  keluarganya dan sahabat-sahabatnya kepada Allah swt.

Waktu subuh juga adalah saat pengantian malam dan siang bermula dan pada saat ini jugalah malaikat-malaikat yang bertugas malam dan siang berkumpul bagi berganti tugas dan kembali kepada hadrat Allah swt dengan membawa catatan harian setiap amalan anak Adam di dunia.

4 rakaat Zohor, 4 rakaat Asar, 3 rakaat Maghrib, 4 rakkat Isya’ dan 2 rakkat Subuh mencukupilah 17 rakaat solat setiap hari dan ini bersamaan dengan 17 kerat rangka anggota kita yang zahir.   

Monday, June 11, 2012

Ibadat Yang Utama

Monday, June 11, 2012 0
Apakah sebab sembahyang lima waktu terlebih dari ibadah yang lain hingga tiada sekali-kali tiada dikecualikan atas tiap-tiap mukallaf menguzurkannya melainkan perempuan-perempuan yang dalam haid dan nifas.

Ibadat sembahyang lebih dituntut oleh Allah swt melaksanakannya kemudian daripada mengucap dua kalimah syahadah, ialah kerana sekelian amal ibadat yang lain terhimpun kepadanya didalam kelakuan sembahyang. Kelebihan sembahyang lima waktu telah di  sarankan oleh Baginda Rasulullah saw kepada kita di dalam satu hadisnya, supaya kita memerintahkan anak-anak kita mendirikan sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketka berusia sepuluh tahun.  

Terdapat enam ibadah utama yang dituntut dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang terhimpun didalam sembahyang lima waktu. Diantaranya ialah:

1.    Mengucap dua kalimah syahadah
2.    Menunaikan zakat
3.    Menunaikan haji ke Baitullah
4.    Puasa di bulan Ramadan
5.    Perang Sabilullah dan
6.    Memberi sedekah kepada fakir miskin.

Adapun mengucap dua kalimah syahadah itu memandang kenyataan zat, sifat dan asma’ dan af’al Allah swt ketika tasyhud awal dan tasyhud akhir, manakala zakat pula bermaksud bersuci pada syara’ dari segala hadas kecil dan hadas besar dan daripada segala sekelian najis yang membinasakan sembahyang. Jikalau tiada bersuci, tiadalah sah sembahyang kita. Bercuci anggata zahir adalah dengan bermula mengambil wudu’ dan memastikan anggota kita, pakaian kita dan tempat sembahyang kita suci daripada najis. 


Bersuci bagi perkara-perkara yang batin adalah sembahyang kita hendaklah suci daripada sifat riya’ sumu’ah, ujub, taakbur, hasad dan ghadab dan ikhlas niatnya ke hadrat Allah swt dan inilah ihsan namanya. 

Takbiratul ihram artinya berpandangan dan bermusyahadah, yakni tiada lain daripada Allah dan apabila sembahyang itu jika temasuk fe’el kita berpandangan selain daripada Allah dengan sengaja, maka rosaklah sembahyangnya. Demikianlah hakikat sebanar-benar mengerjakan haji pada kelakuan dalam sembahyang. 

Puasa itu menahani daripada makan dan minum demikianlah orang yang sedang bersembahyang, jikalau ia makan dan minum, binasalah sembahyangnya kalau disengajakan. 

Adapun perang Sabilullah itu yaitu melawankan hawa nafsu daripada segala waswas dan tipu daya syaitan yang akan memberi bisikan di dalam hati-hati kita dengan tujuan untuk melalaikan sembahyang kita. Maka hendaklah kita hapuskan bisikan syaitan itu yang sentiasa berjuang utuk membinasakan sembahyang kita dan hendaklah kita mmenyanggahkannya dari diri kita dan menghadirkan diri musyahadah kepada Allah swt jua. 

Sedekah itu adalah pada kelakuan memberi salam yang kedua dan hendaklah diiktiqadkan salam itu untuk sekelian orang mukmin yang beramal dengan amalan yang diperintah oleh Allah swt. 

Wallah hu a’lam. 


Wednesday, February 1, 2012

Sembahyang Mencegah Maksiat

Wednesday, February 1, 2012 0


Berkata Ibnu Atho’ullah bahawa sembahyang orang yang bersembahyang itu tidak dapat mencegahnya daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar, tidak dinamakan sembahyang yang sempurna, kerana firman Allah Taala di dalam surah Al-Ankabut [45] …..sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.


Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa sembahyang itu adalah merupakan munajat kita, permohonan kita atau bisikan kita kepada Allah SWT.


Kata Ibnu Atho’ullah lagi hendaklah kita ketahui adakah kita termasuk golongan orang yang benar-benar sembahyang atau tidak, kerana sembahyang itu mencegah kita melakukan perkara-perkara yang mungkar dan maksiat. Kadang-kadang kita sembahyang, tetapi masih lagi melakukan perkara-perkara yang mungkar dan maksiat. Ini bermakna sembahyang kita masih tidak sempurna berdasarkan firman Allah tadi. Jika sembahyang yang kita lakukan itu tidak dapat mencegah kita dari melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar, maka sembahyang kita itu bukanlah sebenar-benar sembahyang malahan ia hanyalah sembahyang pada sebutan zahir semata-mata tetapi tiada di segi amalan bathinnya.


Banyak orang yang sembahyang dalam keadaan sifat yang takabbur dan sombong sedangkan ketika meletakkan dahi kita di atas lantai, jelas menunjukkan betapa rendahnya martabat kita disisi Allah Taala, tetapi  kadang-kadang masih ada lagi terdapat di dalam hati manusia sifat besar dan sombong. Ini bermakna sembahyangnya tidak ada memberi kesan dalam membentuk peribadinya kerana sembanyangnya masih tidak sempurna. 


Ada orang yang sembahyang sekadar sembahyang menunaikan kewajipan sahaja dan tidak banyak yang betul-betul sembahyang yang menghadapkan seluruh jiwa raga mereka kepada Alllah. Hal ini telah dinyatakan di dalam firman Allah di dalam surah Al-Maaun [4,5]…..


4.  Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat,
5.  (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya,


Sembahyang itu adalah bermunajat kita ke pada Allah swt, ertinya kita berhadapan dengan hadrat Allah swt, maka semasa kita menghadap kepadaNya hendaklah kita mempunyai adab adab yang tertentu. Yakni hendaklah kita menghadap kepadaNya dengan sepenuh hati  umpama kita sedang berjumpa dengan orang besar atau orang kenamaan dan sedang bercakap-cakap denganya. Kita memakai pakaian yang bersih dan mengharap dengan yakin agar permohonan kita diperkenankan oleh mereka. Pada ketika itu kita tidak memalingkan muka kita daripadanya dan jika sekiranya kita memandang kepada yang lainnya maka kita dikira sebagai tidak menghormatinya. 


Bagitulah juga ibaratnya ketika kita menghadap kehadrat Allah swt,  ikrar kita kepadaNya di dalam sembahyang dari mula takbiratul ihram ….”Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam” hinggalah ke salam yang akhir. 


Adakah pernah kita meneliti sembahyang  5 waktu yang kita lakukan itu adakah menepati sepertimana yang disuruh oleh Allah swt atau tidak?. Adakah sembahyang kita sama  sepertimana pengakuan kita kepada Allah swt ketika kita melafazkan doa iftitah, ketika kita membaca al fatihah, ketika kita melafazkan kalimah puji-pujian di dalam ruku’ dan sujud dan di dalam bacaan, tahiyyat?. Adakah kita lupa segala-galanya selepas kita menyebut salam selepas selesainya kita sembahyang.


Kata nabi orang yang bersembahyang jumaah adalah lebih baik dari sembahyang seorang dengan 25 atau 27 kali ganda. Justeru itu mahukah kita mengambil manfaat sembahyang berjemaah yang mana mempunyai banyak lagi kelebihan-kelebihan yang tidak kita ketahui.


Sembahyang adalah satu ibadah yang paling tinggi berbanding dengan ibadat-ibadat yang lain dan sebab itulah Nabi kita saw menghadap ke hadrat Allah swt untuk mengambil terus dari Allah swt perintah sembahyang hingga ke Sidratul Muntaha, manakala ibadat-ibadat yang lain disampaikan oleh Jibril as sahaja.  Inilah penghormatan Allah swt kepada Nabi saw yang tidak diberikan kepada nabi-nabi atau rasul-rasul yang lain, hatta Nabi Musa sekalipun. Maka hendaklah kita peliharakan sembahyang kita kerana nilainya tinggi disisi tuhan.


Maka hendaklah saban hari kita menilai sembahyang yang kita laksanakan ini diterima atau tidak oleh Allah swt, betul atau tidak dan pohonlah dariNya diberikan nur supaya sembahyang yang kita kerjakan lebih sempurna dari segi hakikat sembahyang yang sebenarnya.


Oleh itu marilah kita renung sejenak dan marilah kita sama-sama memikirkan cara untuk membetulkannya sedikit demi sedikit supaya kita sentiasa berada di dalam istiqamah pendekatan kita dengan Allah swt.





Monday, January 19, 2009

Bacaan Selepas Wuduk

Monday, January 19, 2009 0
1. Diriwayatkan oleh Umar Ibn Al Khatab, iaitu barangsiapa mengucap akan doa selepas wuduk nescaya membuka Allah baginya 8 Pintu Syurga. Masuklah ia darimana pintu yang disukainya. Inilah doanya:


2. Pengertiannya:

Aku naik saksi, yakni berikrarlah aku dengan lidahku dan beriktiqad dan mengaku aku dengan hatiku bahawasanya tiada Tuhan yang mustahak disembah melainkan Allah semata-mata yang tiada sekutuNya dan setarafNya.



Dan aku ikrarkan dengan lidahku dan beriktiqad dan aku benarkan dan aku percayakan dihatiku bahawasanya Nabi Muhammad itu hambaNya dan PesuruhNya




3. Pengertiannya:


Ya Tuhanku jadikanlah olehMu akan daku daripada orang yang taubat apabila jatuhku di dalam mengerjakan dosa dan ilhamkan taubat kepadaMu.


dan jadikan olehMu akan daku daripada orang yang suci yakni lepas daripada dosa dan kesalahan yang terlanjur dan lepas daripada berlumur dengan kesalahan yang lagi akan datang


atau


Dan jadikan olehMu akan daku suci dan bersih daripada segala perangai yang dikeji syarak.


Dan jadilah olehMu akan daku daripada orang yang soleh dan berakhlak mulia



4. Pengertiannya:



Mahasuci Engkau Ya Allah dan segala pujian itu tertentu bagiMu


Dan aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan engkau(Allah) dan aku memohon keampunanMu dan bertaubat kepadaMu



5. Pengertiannya:



Dan rahmatilah keatas Penghulu kami Nabi Muhammad, SAW dan keatas sekelian keluarganya dan sahabat-sahabatnya dan kurniakanlah kesejahteraan keatasnya



6. Doa lengkap selepas wuduk:





 
◄ Free Blogger Templates by The Blog Templates | Design by Pocket